Pengakap Kelana ialah kumpulan Pengakap bahagian dewasa di bawah Persekutuan Pengakap Malaysia, terbuka kepada belia yang berusia di antara umur 17 ½ tahun hingga 25 tahun. Pengakap Kelana memberikan keseronokan, mewujudkan persahabatan dan menawarkan aktiviti yang menarik kepada semua belia yang menyertainya. Aktiviti-aktiviti Pengakap Kelana dijalankan bersama ahli-ahli yang mempunyai persefahaman dan aktif di dalam satu kumpulan yang dinamakan sebagai Krew Pengakap Kelana.
Program Latihan Pengakap Kelana menawarkan aktiviti dan keseronokan di serata dunia daripada segi cabaran fizikal dan mental. Ia juga memberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat luar serta menyediakan peluang untuk melancong di dalam Malaysia dan juga ke luar negara. Ahli-ahli Krew Pengakap Kelana akan diberi tugas untuk menguruskan Krew sendiri dan memastikan program Pengakap Latihan Pengakap Kelana dilaksanakan. Menyertai Krew Pengakap Kelana adalah salah satu langkah bijak dan berfaedah dalam hidup anda. Ia membuka pintu kepada persahabatan baru, memberikan keseronokan, cabaran dan pengalaman berharga yang sukar untuk dilupakan. Segalanya terletak di tangan anda.
Program Latihan Pengakap Kelana adalah berasaskan kepada beberapa aktiviti utama seperti berikut:
» Perkhidmatan
» Sosial
» Cabaran luar
» Aktiviti mental
» Semangat
Krew Pengakap Kelana boleh mengadakan program sendiri yang boleh dipelbagaikan mengikut minat dan idea ahli-ahli kumpulan. Pengurusan dalaman Krew Pengakap Kelana adalah terletak di tangan ahli-ahli krew. Pelantikan pihak Krew atasan adalah di bawah pemilihan ahli Pengakap Kelana yang menguruskan hubungan antara Krew Pengakap Kelana dengan bantuan dan bimbingan daripada Penasihat Pengakap Kelana.
Bermula di pantai barat Malaysia dalam tahun 1910, dua tahun selepas ianya dimulakan di Great Britain. Dipercayai bahawa ianya dimulakan di Pulau Pinang tahun 1908, Selangor pula bermula pada tahun 1909 tetapi tidak bergerak cergas. Pengakap pertama mengandungi 30 orang ditubuhkan di Singapura tahun 1910 oleh Tuan F.C Sands (Jaguh Pengakap terkenal di Nottingham dan seorang pendidik). Perkembangan ke negeri-negeri lain di Malaysia bermula tahun 1912 di Pahang, 1913 Sabah, 1915 Pulau Pinang dan Sarawak, 1920 Perak, 1922 Kedah dan Perlis, 1925 Melaka dan Negeri Sembilan, 1926 Selangor dan Terengganu, 1927 Kelantan, 1928 Johor, yang kesemuanya berjumlah lebih 85,000 orang. Cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Great Britain di kenali sebagai Persekutuan Budak-budak Pengakap di kawasan Malaya termasuk Singapura dengan setiap negeri sebagai satu Daerah Pengakap. Sabah dan Sarawak menjadi ahli cawangan Great Britain. Selepas Perang Dunia Ke 2, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menjadi dua cawangan yang berasingan daripada Great Britain. Setiap satunya mempunyai Persekutuan Negeri yang dibahagi kepada beberapa Daerah Pengakap yang mempunyai Persekutuan-Persekutuan Tempatan yang dikenali sebagai Persekutuan Budak-Budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu. Ianya menjadi badan bebas yang menjadi ahli Persidangan Pengakap Sedunia pada 1 September 1957.
Pengakap telah diasaskan oleh seorang bangsa lnggeris bernama Robert Stephenson Smyth Baden-Powell yang terkenal dengan nama Lord Baden-Powell atau BP. Baden-Powell dilahirkan di bandar London, England pada 22 Februari 1857, dan meninggal dunia pada 8 Januari, 1941. Bapa Baden-Powell bernama Reverend H.G. Baden-Powell adalah seorang mahaguru di Universiti Oxford, London, England. Ibunya ialah anak kepada Laksamana British bernama W.T. Smyth. Sewaktu Baden-Powell berusia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama ibunya dalam keadaan yang sederhana. Pada zaman persekolahan Baden-Powell banyak menceburkan diri dalam kegiatan sekolahnya seperti berlakon, menyanyi dan menembak. Dalam masa cuti sekolah Baden-Powell bersama-sama tiga orang abangnya selalu pergi mengembara berjalan kaki berkhemah, belayar dan berperahu. Setelah berjaya dalam peperiksaan tentera, BP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan mula berkhidmat dalam tentera di India dan Afghanistan dalam tahun 1876, kemudian ke Natal (Zululand) dan Malta sebagai penolong Setiausaha Tentera. Beberapa tahun kemudian beliau dihantar bertugas di Afrika Barat untuk menamatkan satu peperangan di Ashanti, Ghana. Di situ beliau digelar KANTANKYE yang bermaksud Topi Besar. Dalam peperangan Baden-Powell sentiasa berhati-hati terhadap pergerakan musuh hinggakan beliau digelar IMPEESA yang bermaksud Serigala yang tak pernah tidur. Dalam tahun 1897, BP dinaikan pangkat menjadi Kolonel dan ditempatkan di India untuk memimpin Dragoon Guard ke 5. Beliau telah memberi hadiah kepada askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik dengan satu lencana bergelar SCOUTS (Peninjau). Dalam tahun 1899 Baden-Powell pulang ke England membawa sebuah buku yang dikarangnya semasa di Kashmir berjodol Aids To Scouting. Buku itu mengandungi kisah peninjauan di India. Tidak lama kemudian, Baden-Powell telah dihantar ke Afrika Selatan untuk menambahkan dua rejimen askar berkuda untuk mempertahankan sempadan British dari serangan orang Boer iaitu puak keturunan pendatang Belanda. Orang-orang British telah mengepung bandar Mafeking, iaitu sebuah bandar jajahan British, dengan itu mencetuskan satu peperangan besar yang dinamakan Peperangan Boer. Dalam peperangan itu, Baden-Powell hanya mempunyai seramai 1,000 orang askar berbanding dengan 9,000 orang Boer. Dengan tipu helah, beliau meletakkan periuk api pasir dan papan tanda BAHAYA sehingga beliau telah berjaya memperdayakan orang-orang Boer. Beliau telah menggunakan budak-budak untuk mengintip rahsia musuh. Akhirnya Baden-Powell berjaya memenangi peperangan itu. Di atas kemenangan itu, beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral ketika berumur 43 tahun, pegawai yang termuda menerima pangkat itu. Selepas perang Boer, Baden-Powell diarahkan menubuhkan pasukan polis Afrika Selatan dan dilantik sebagai Jeneral Tentera Berkuda. Beliau menjadi Jeneral pasukan tentera Simpanan ketika berumur 50 tahun. Setelah bersara dari tentera, Baden-Powell pulang ke England dan telah menganjurkan satu perkhemahan di Pulau Browsea selama 10 hari pada tahun 1907. Seramai 21 orang budak-budak turut serta dalam perkhemahan itu. Baden-Powell menggunakan idea berpandukan kepada pengalamannya dalam peperangan Mafeking dan buku "Aids To Scouting". Budak-budak itu dibahagikan kepada empat patrol. Mereka belajar dan berlatih cara berkhemah, memasak, memerhati, mengembara, berperahu, menyelamat nyawa dan mengesan jejak. Pada malamnya diadakan unggun api. Perkhemahan di Pulau Browsea berjaya dan amat diminati oleh budak-budak yang menyertainya. Selepas itu dalam tahun 1908, Baden-Powell pula mengarang sebuah buku berjudul "Scouting For Boys". Kandungannya berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi askar di India dan Afrika serta perkhemahan budak-budak di Pulau Browsea. Buku itu telah memikat hati budak-budak. Dengan itu wujudlah Pergerakan Pengakap. Dalam tempoh setahun sahaja Pergerakan Pengakap berkembang di England dan merebak ke Australia, Canada, New Zealand dan Afrika Selatan. Berikutnya pada tahun 1909, Pergerakan Pengakap ditubuhkan di Chile, Amerika Syarikat, Ghana, India dan selepas itu di seluruh dunia.